Menurut Kamarudin Hj. Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1998), kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kemahiran membaca ialah lanjutan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Melalui pembacaan, seseorang itu mampu menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperoleh melalui pengalaman biasa yang lain. Membaca dapat membantu memperluas pemikiran dan idea serta meningkatkan daya kreatif seseorang individu dalam pelbagai bidang.
Manakala menurut John Everatt (2008), membaca ialah suatu kemahiran rumit yang kerap dipandang ringan. Setelah dikaji dengan terperinci tentang pelbagai kemahiran yang terlibat, barulah kita menyedari bahawa membaca terangkum dalam dunia operasi yang dipelajari dan proses mental. Perbuatan membaca dapat dianggap sebagai terbina daripada dua proses iaitu mentafsir bentuk tulisan dan memahami mesej yang disampaikan oleh bentuk bertulis tersebut. Oleh itu dapat dikatakan bahawa membaca ialah pentafsiran perkataan dan pemahaman bahasa.
Kebolehan membaca sangat penting dan
ia merupakan satu ukuran kejayaan pelajar-pelajar sekolah. Ini kerana kebolehan membaca dianggap sebagai asas bagi mencapai kejayaan dalam semua bidang, terutamanya dalam bidang pendididkan. Kemahiran membaca ini ditekankan pada peringkat awal lagi bersama kemahiran lain seperti mengira dan menulis. Kebolehan membaca bukan sahaja dianggap sebagai asas utama bagi mencapai kejayaan dalam bidang ekonomi dan sosial, malah sistem persekolahan itu sendiri menganggapnya sebagai asas bagi seseorang itu terus meningkat dalam alam persekolahannya sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. Wardhaugh (1969) menerangkan:
"Success in reading is therefore assumed to closed related to success
in living and to personal and emotional adjustment. The successful reader is to some extent also the successful citizen."
No comments:
Post a Comment