Terdapat
empat teori membaca iaitu teori menaik (Bottom
Up), teori menurun (Top-Down),
teori interaktif dan teori mental membaca
TEORI MENAIK (Bottom Up)
Tokoh
utama yang banyak mengkaji model ini ialah Gough (1972, 1985). Model ini menyatakan
individu memulakan proses membaca apabila matanya mengenal pasti maklumat
visual yang tertera dalam teks yang dibacanya melalui siri perbuatan yang
berterusan. Model ini sangat bermanfaat bagi golongan membaca yang lemah dalam
bahasa pertama dan bahasa kedua. Hal ini demikian kerana, golongan ini lebih
memfokuskan tahap perkataan bagi teks daripada makna secara global. Teori ini
mempunyai prinsip-prinsip iaitu seperti mengenal pasti ciri huruf,
menghubungkan ciri huruf untuk memilih huruf, menggabungkan huruf untuk memilih
pola ejaan, menghubungkaitkan pola ejaan dalam memilih perkataan dan membuat
proses membina ayat perenggan dan tahap sesebuah teks.
Dalam
teori ini terdapat beberapa langkah yang berkaitan dalam proses membaca.
- Membaca huruf
- Membaca perkataan
- Membaca ayat
- Membaca perenggan
- Membaca teks penuh
- Pemahaman teks
TEORI MENURUN (Top-Down)
Model
membaca atas ke bawah ini berasaskan model psikolinguistik oleh Goodman (1967,
1970) dan Smith (1971, 1978). Model ini memberi penekanan terhadap pembaca dan
pergerakan bahan bacaannya yang masih lagi bersifat linear tetapi bergerak dari
atas ke bawah. Model atas ke bawah ini menunjukkan bahawa pemahaman teks adalah
lebih penting berbanding penggunaan bahasa dan maklumat. Tambahan lagi teori ini
mengemukakan fenomena di mana makna tidak terdapat di dalam teks yang dibaca
tetapi makna diberikan oleh pembaca itu sendiri. Prinsip teori ini adalah
seperti berikut:
- Mengetahui apa yang dibaca walaupun tidak tahu istilah-istilah perkataan yang digunakan.
- Menggunakan makna dan isyarat bagi mengenal pasti istilah-istilah yang tidak difahami.
- Fokus pada pengajaran semasa membaca ayat, paragraf dan keseluruhan bahan bacaan.
- Tahu jenis dan maklumat yang diperoleh hasil daripada pembacaan.
TEORI INTERAKTIF
Perkembangan awal model ini banyak dibincangkan oleh Rumelhart (1977, 1980, 1985) dan Stonovich (1980). Berdasarkan gabungan kedua-dua model yang dibincangkan di atas, model membaca interaktif dikatakan lebih berpengaruh dalam kalangan pembaca. Menurut Rumelhart (1977), membaca adalah proses bercirikan persepsi dan kognitif yang dimulakan dengan pergerakan pola-pola di atas retina mata dan diakhiri dengan idea yang ditentukan oleh pengarang. Dalam hal ini, semua sumber berpengetahuan sama ada sensor atau bukan sensor akan bergabung dan proses membaca adalah hasil daripada penggabungan semua sumber pengetahuan tersebut.
Model ini juga mengandaikan membaca sebagai proses yang aktif bagi membentuk makna melalui interaksi antara pembaca dengan teks. Berbeza dengan model membaca atas ke bawah dan bawah ke atas, model ini melihat proses membaca sebagai pola lingkaran dengan maklumat tekstual dan aktiviti mental pembaca wujud pada kedua-dua tahap atas ke bawah dan bawah ke atas secara serentak. Keberkesanan penggunaan model ini bergantung pada latar belakang pembaca, tahap kefasihan membaca, motivasi, strategi yang digunakan dan kepercayaan budaya yang dianuti.
TEORI MENTAL MEMBACA
Berdasarkan model ini, Schraw dan Burning (1996) menyatakan bahawa pembaca berpegang kepada beberapa jenis fahaman yang boleh memberi kesan kepada cara mereka membaca. Model tersebut mencadangkan agar setiap pembaca mengamalkan model mental bagi proses membaca yang menekankan interaksi pembaca dengan teks. Ia lebih mementingkan kekuatan mental pembaca dalam menanggapi teks yang baca. Pembaca sebagai penganalisis teks mempunyai pegangan yang tersediri terhadap sesuatu perkara yang dibentangkan di dalam teks. Oleh itu, kekuatan mental pembaca mengolah idea penulis seta menanggapi isi kandungannya dengan merujuk kepada pegangan atau anutannya terhadap sesuatu konsep. Schraw dan Burning juga menganggap pembaca tidak secara eksplisit sedar tentang model yang digunakannya ketika membaca. Oleh hal demikian, semasa membaca sering kali pembaca tidak dapat membina makna akibat tidak dapat mengawal pembacaanya melalui model mental yang sesuai.
No comments:
Post a Comment