BELAJAR MEMBACA


Ketika dalam proses membaca mata memainkan peranan yang sangat penting. Mata berfungsi merakamkan maklumat yang bercetak untuk diproses di dalam otak.  Maklumat yang disimpan ini kemudiannya dipanggil maklumat visual. Otak menggunakan maklumat visual untuk mentafsir makna sementara maklumat visual yang dirakam oleh mata itu tadi akan di tafsir dalam otak. Untuk memproses maklumat visual ia memakan masa dan had masa yang diperlukan bergantung pada berapa banyak maklumat yang diperlukan. Proses ini juga bergantung pada berapa banyak pilihan yang perlu dibuat oleh otak.  Hal ini bermakna had laju kita mengenali sesuatu bergantung pada bilangan pilihan yang ada.
          Setelah mata merakam maklumat visual teks bacaan, proses selanjutnya ialah pengecaman kata. Proses pengecaman kata ini berlaku di dalam otak. Pengecaman perkataan mengikut kaedah fonetik melibatkan pentafsiran bunyi yang dibuat oleh satu huruf tertentu atau gabungan huruf. Manakala cara pengecaman seluruh perkataan melibatkan pengecaman perkataan secara keseluruhan. Setelah mengecam perkataan,  langkah seterusnya dalam bacaan ialah memahami makna. Kita belajar memahami makna melalui pengalaman. Semasa kita membaca satu ayat,  perkataan dan frasa yang kita temui,  secara tidak langsung kita telah mengaktifkan daya ingatan yang membenarkan kita untuk memahami makna. Kejadian ini dikenali sebagai mencari makna.
Mencari makna ialah kesan yang memudahkan makna diberikan kepada kata yang telah dicam terlebih dahulu. Kajian mengenai mencari makna ini menemukan satu perkara penting dalam proses membaca iaitu model mental membaca. Apabila pembaca menjumpai satu perkataan baru, mereka akan bertindak membina model mental berkaitan perkataan tersebut dengan bantuan model-model yang sedia ada wujud dalam daya ingatan mereka. Menurut Smith (1990), kata yang dilihat dalam bentuk tulisan itu ialah struktur permukaan bahasa iaitu berbentuk penulisan. Manakala struktur dalaman pula berkait rapat dengan makna yang dibawa kepada bentuk tulisan yang dapat dilihat oleh otak tadi.
Makna juga dibina secara keseluruhan apabila pembaca dapat menggunakan kiu yang terdapat dalam ayat. Kiu ialah penanda yang membantu dalam pembacaan. Sistem kiu terdiri daripada sistem kiu grafik, sistem kiu sintaksis dan sistem kiu semantik. Sistem kiu grafik merujuk kepada hubungan huruf-bunyi atau grafem-fonem, bentuk perkataan, perkataan yang sudah diketahui berbanding dengan perkataan baharu. Sementara sistem kiu sintaksis merujuk kepada pola ayat dan susunan kata dalam ayat (subjek dan predikat), kata berfungsi, pola intonasi, konteks tatabahasa dan tanda bacaan.  Kiu semantik memfokuskan kebolehan berbahasa, perbezaan dialek, faktor fisiologi, kemahiran tanggapan pembaca, pengalaman intelek dan konsepsi pelajar. 

No comments:

Post a Comment